APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KAUNSELING SYAR’IE?

Kaunseling Syar’ie didefinisikan sebagai satu proses memberi bantuan dan bimbingan dari aspek fizikal, rohani dan spiritual oleh seseorang yang mahir dalam bidang Kaunseling Syar’ie kepada seorang atau lebih klien yang normal dan sedang menghadapi masalah dalam hidupnya, dengan menggunakan pelbagai kaedah berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah untuk membantu klien menyelesaikan masalah memahami diri dan matlamat hidup ke arah mencapai keredhaan Allah dan mengamalkan prinsip-prinsip Islam di dalam hidupnya.

Asas falsafah kaunseling menurut perspektif syariah ialah bertitik tolak daripada pengertian manusia sebagai insan yang dituntut mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi Khalifah Allah di bumi.

Apabila manusia tersasar dari konsep sebenar penciptaannya sebagai hamba Allah, maka Islam menyediakan mekanisme dan garis panduan sebagai jalan penyelesaiannya.

Matlamat Kaunseling Syar’ie adalah:-

1. Melahirkan manusia yang mampu untuk mengenal potensi diri sebagai Khalifah Allah.

2. Melahirkan manusia yang dapat membuat keputusan atau menyelesaikan masalah berasaskan syariat Islam.

3. Melahirkan manusia yang berjaya mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

4. Melahirkan manusia yang mampu membina kehidupan yang diredhai Allah S.W.T.

Berasaskan kepada sumber utama hukum syarak iaitu Al-Quran, Sunnah Rasulullah S.A.W. dan Ijmak Ulama’. Sabda Rasulullah S.A.W.: “Telah aku tinggalkan padamu dua perkara, selagi mana kamu berpegang kepada dua perkara tersebut maka kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya; iaitu Kitab Allah dan Sunnahku.”

Bertujuan membantu mereka yang menghadapi pelbagai masalah. Rasulullah S.A.W. bersabda: Tolonglah saudaramu sama ada yang dianiayai orang atau pun yang menganiayai orang lain. Sahabat bertanya. “Bagaimana cara kami menolong orang yang menganiaya?” Maka jawab Rasulullah S.A.W.: Engkau cegah dia melakukan penganiayaan. Dan dengan demikian engkau sudah menolong orang yang menganiaya daripada terjerumus ke dalam dosanya.” (Riwayat Al-Bukhari)

www.RawatanPengubatanIslam.com

© 2025 Rawatan Pengubatan Islam | Semua Hak Cipta Terpelihara

Silakan Share Untuk Manfaat Bersama!