APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN PSIKOSPIRITUAL ISLAM?

Psikospiritual Islam adalah sebuah disiplin ilmu yang menggabungkan elemen Psikologi dan Kerohanian berteraskan teori dan amalan dalam Islam bersumberkan Al-Quran, Sunnah, Ijmak Ulamak dan Salafussoleh.

Psikologi merupakan satu disiplin ilmu yang melibatkan kajian secara saintifik terhadap proses mental dan perilaku manusia. Ilmu pengetahuan mengenai pelbagai aktiviti manusia termasuklah masalah-masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian dan rawatan-rawatan terhadap masalah tersebut.

Spiritual bersifat rohani dan jiwa iaitu bukan bersifat fizikal dan jasmani. Ia disebut juga sebagai rohani/kerohanian. Spiritual merupakan pengerahan seluruh potensi rohaniyah dalam diri manusia yang harus tunduk pada ketentuan Syarak dalam melihat segala bentuk hakikat sama ada berkaitan dengan dunia lahiriah mahu pun dunia batiniah.

Psikospiritual Islam merupakan satu konsep dan kaedah perawatan kecelaruan jiwa (Nafs, Roh dan Qalb), mental (Aql), emosi (‘Atif) mahu pun perilaku moral (akhlak) berteraskan sumber dan amalan berasaskan Al-Quran, As-Sunnah, amalan Salafussoleh dan ilmu pengetahuan yang tidak bercanggah dengan prinsip syariah. Ianya bermatlamatkan kebahagiaan dunia dan kebahagiaan akhirat.

Psikospiritual merupakan sesuatu yang unik kerana ia mengandungi dua aspek utama:-

1. Menghubungkan fizikal dan spiritual (rohani) – (jiwa, mental, emosi dan tingkahlaku).

2. Mengukuhkan hubungan antara teori dan praktis.

Bidang ini mempunyai kaitan rapat dengan ilmu metafizikal (aqidah, ibadah, tasawuf) dan psikologikal di samping memperkukuhkan lagi hubungan perkaitan proses mental, persekitaran serta pengalaman dan sikap manusia.

Kaedah pemulihan dalam disiplin Psikospiritual boleh dibahagikan kepada:-

1. Pengawalan diri dan menghindari perbuatan buruk serta keji yang wujud di dalam diri individu tersebut.

2. Kaedah pengubatan dan rawatan yang digunakan kepada individu berperilaku buruk. Individu itu dianjurkan supaya istiqamah menjadi manusia beriman dan bertakwa serta menjalankan segala perintah-Nya.

3. Kaedah bimbingan dan pembangunan yang menjadi usaha pemulihan secara intensif agar terhindar daripada dosa serta membangunkan spiritual dan psikologi yang lebih baik.

4. Kaedah pengukuhan dan pemantauan terhadap proses pemulihan yang dilakukan. Pemantauan perlu bagi memastikan pembangunan diri yang dibina akan berterusan dan berkembang lebih baik.

Terapi Psikospiritual Islam ini merupakan pelengkap kepada kaedah Rawatan Islam yang lain iaitu Kaunseling Syar’ie dan ‘Ilaj Syar’ie dan juga merupakan pelengkap kepada kaedah rawatan sedia ada yang berasaskan biologikal, psikologikal dan sosial. Ia menekankan aspek penjagaan spiritual kepada pesakit. Ia diyakini mampu untuk memperkukuhkan kekuatan dalaman pesakit sekaligus mampu memberi ketenangan kepada mereka.

Terapi ini akan menjadikan pesakit akan lebih redha dan bersedia untuk bertemu dan kembali kepada Penciptanya sekiranya ditaqdirkan sakitnya berakhir dengan kematian.

www.RawatanPengubatanIslam.com

© 2025 Rawatan Pengubatan Islam | Semua Hak Cipta Terpelihara

Silakan Share Untuk Manfaat Bersama!